Saturday, May 26, 2012

AGENSI PELANCONGAN DAN PENGEMBARAAN MALAYSIA (MATTA)

ADI DIN HUSSEIN TIMBALAN PENGERUSI PERSATUAN AGENSI PELANCONGAN DAN PENGEMBARAAN MALAYSIA (MATTA) NEGERI PAHANG

BIARPUN tidak berpendidikan tinggi malah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambilnya pada 1980 sekadar cukup makan, pemilik yang juga Pengurus Besar East Coast Holidays (ECH), Adi Din Hussein, 47, tidak menganggapnya penghalang untuk menempatkan diri dalam kalangan usahawan berjaya dalam sektor pelancongan negara.Selepas segala penat lelah, jatuh bangun dan cerita kecewa bapa sembilan anak ini (dua meninggal dunia) ini berbalas dengan kedudukannya sebagai pengusaha agensi pelancongan nombor satu di Pahang.

Tanpa berselindung, Adi Din yang pernah gagal dalam perkahwinan terdahulu kini bahagia bersama isteri tercinta, Rozima Ali, 32, yang dikahwininya pada 1995, mengakui isterinya adalah tulang belakangnya dan sentiasa memberi sokongan terutama ketika bisnes berhadapan masalah.

"Dia banyak membantu saya malah bersedia memegang amanah dan tanggungjawab menjadi ibu kepada anak saya daripada perkahwinan terdahulu tanpa banyak soal.

"Rozima yang bertindak sebagai Pengarah Operasi ECH banyak berkorban memajukan agensi pelancongan ini sehingga kukuh berdiri hari ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Besar, Kuantan, baru-baru ini.

Bukan niat membuka pekung di dada, tetapi sebagai iktibar untuk lebih berhati-hati, Adi Din mendedahkan kegagalan pelbagai perniagaan yang diusahakan sebelum membabitkan diri dalam sektor pelancongan kerana terlalu mengikut jiwa muda dan tiada persediaan rapi untuk memulakan setiap perniagaannya.

Sekitar 1992, Adi Din diisytiharkan muflis selepas semua perniagaannya mengalami kerugian kerana kegawatan ekonomi.

Perasaan malu dan takut bersarang di hati sehingga dia mengambil keputusan melarikan diri ke Indonesia selama dua tahun dengan meninggalkan keluarga dan hutang hampir RM300,000.

Menurutnya, peristiwa hitam itu berlaku secara mendadak terutama selepas anak keduanya, Mohd Risham meninggal dunia pada 1991 ketika berusia tiga tahun kerana terjatuh dalam kolam tinggal di rumahnya di Kuala Terengganu.

"Saya benar-benar terpukul ketika itu. Saya seperti orang hilang arah, bisnes ke mana, rumah tangga ke mana malah saya seperti orang gila. Dua bulan saya tidak bekerja dan perniagaan tidak terurus.

"Untuk mengelak dikejar pemiutang, saya lari ke Indonesia dan kembali ke tanah air bekerja sebagai pemandu teksi," katanya tanpa diselubungi rasa malu mendedahkan kegagalan diri.

Ingin mengembalikan kejernihan rumah tangga, Adi Din menebalkan muka bertemu dan meminjam rantai emas milik ibu untuk digadai sebagai bayaran deposit teksi. Berkat kesungguhan bekerja, dia berjaya melunaskan hutang RM300,000 dalam tempoh enam bulan.

"Saya juga berjaya membeli teksi sendiri dan genap setahun saya berjaya memiliki empat teksi dengan membuat sewaan RM10,000 di lapangan terbang Sultan Ahmad Shah (LTAS).

"Pada 1995, saya mula membabitkan diri dalam sektor pelancongan dengan menjadi ejen pelancongan dan mengusahakan perkhidmatan teksi limosin di lapangan terbang itu.

"Hasil usaha saya bekerja bersungguh-sungguh dan berjimat cermat, saya mampu membeli sebuah teksi limosin bernilai RM50,000 dan pada masa sama masih bekerja sebagai pemandu teksi," katanya Setahun selepas itu, Adi Din berjaya mengambil alih pengurusan syarikat limosin berkenaan dan selepas enam bulan dia berjaya membeli sebuah lagi limosin dan menjadikan 10 limosin semuanya.

Menceritakan pengalaman lalu, Adi Din melangkah ke alam pekerjaan sebagai pelayan restoran di beberapa hotel terkenal di Kuantan ketika menunggu keputusan SPM pada 1980. Dia juga bergelar jurujual di syarikat penerbitan buku terkenal selama lapan tahun di Kuala Lumpur dan pernah dinobatkan sebagai pekerja terbaik di syarikat itu sebelum berhenti kerja pada 1990.

Anak pasangan penoreh getah yang pernah memegang jawatan sebagai pemaju masyarakat di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi kawasan Parlimen Paya Besar tidak lupa berkongsi cerita bagaimana pembabitannya dalam sektor pelancongan bermula kira-kira lapan tahun lalu.

"Semuanya bermula ketika saya menumpang di pejabat agensi pelancongan milik pasangan suami isteri, Alfi dan Jacky Wong di Jalan Teluk Cempedak, Kuantan.

"Melihat kegigihan saya mengendalikan perkhidmatan kereta sewa dan teksi, dia menawarkan saya mengambil alih pengurusan ECH miliknya ketika itu, tetapi saya menolak kerana tidak mempunyai modal yang mencukupi.

"Ketika itu saya baru sahaja memulakan perniagaan kedai perabot jati di Jalan Bukit Ubi dan sudah melabur sejumlah besar simpanan saya," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Negeri Pahang .

Desakan demi desakan oleh pasangan itu akhirnya melembutkan hati Adi Din bersetuju mengambil alih ECH berdasarkan kepercayaan dan hubungan rapat antara mereka bertiga.

"Mereka akhirnya meminta saya kendalikan perniagaan itu terlebih dahulu tanpa menjelaskan sebarang wang pendahuluan kerana mereka mahu ECH terus beroperasi ketika mereka berhijrah ke Australia," katanya.

Berkat kesungguhan dan menjadikan pengalaman lalu sebagai panduan untuk lebih bijak mengurus perniagaan, tanpa menoleh ke belakang, Adi Din terus mengorak langkah memajukan ECH dengan pelbagai perkhidmatan yang mampu memuaskan hati pelanggan 100 peratus.

"Saya berterima kasih kepada pasangan itu kerana memberi kepercayaan, amanah dan tanggungjawab untuk menguruskan syarikatnya walaupun kami berlainan bangsa dan agama. "Pasangan itu menyerahkan ECH kepada saya pada Disember 2003 tanpa mengambil sebarang bayaran atas dasar percaya walaupun agensi itu bernilai RM350,000," katanya.

Berkat kesungguhannya, pada Januari 2004, Adi Din berjaya mengambil alih sepenuhnya pengurusan ECH dan melangsaikan hutangnya pada 2008.

Namun, Adi Din turut terkena tempias pihak yang kurang senang dengan kejayaannya.

"Sehingga ke satu tahap, mereka menghina dan mencaci saya kerana menganggap bekerja dan menjadi 'orang suruhan' Alfi dan Jacky tanpa mengetahui kebenarannya.

"Tetapi saya memandangnya daripada sudut positif dengan menjadikan tohmahan dan fitnah yang bermain di bibir mereka sebagai pembakar semangat untuk saya memajukan diri dalam bisnes ini.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengatasi segala tohmahan itu hasil sokongan padu isteri, anak dan pekerja yang terus setia bersama saya sehingga ke hari ini," katanya.

Kini, ECH mengembangkan sayapnya dengan lebih meluas apabila berjaya menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan mereka sama ada dari dalam mahupun luar negara.

"ECH mampu memenuhi permintaan pelanggan dengan kemudahan pengangkutan yang disediakan, jadual perjalanan yang tersusun dan membawa mereka ke destinasi dan lokasi pelancongan di seluruh negeri.

"Malah dengan 28 kenderaan pelancongan terdiri daripada bas, van, kereta sewa dan pandu, ECH mampu merealisasikan permintaan pelancong yang inginkan perkhidmatan kami," katanya.

Dengan 20 kakitangan dan pemandu terlatih, Adi Din bakal menambah empat lagi bas persiaran baru bernilai RM1.7 juta menjelang akhir tahun ini iaitu tiga bas biasa dan sebuah coach VIP.

"Saya perlukan kakitangan yang sanggup memberi komitmen 100 peratus dalam tugas dan kini saya berjaya mendapat pekerja terlatih dan sanggup berkongsi masalah dan kejayaan dalam perniagaan.

"Saya akan terus berjuang memartabatkan industri pelancongan Pahang dengan menawarkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya tersenyum puas.

Komitmen tinggi dalam tugas menyebabkan Adi Din mempunyai masa yang cukup terhad bersama keluarga selain mengenepikan hobi memancing dan bermain golf.

"Kesibukan di pejabat membuatkan anak sering merungut kerana saya dan isteri tidak mempunyai masa bersama mereka.

"Justeru, jika ada waktu terluang saya akan gunakan waktu berkualiti itu membawa mereka bercuti atau berkelah serta membeli-belah untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan," katanya.

Meniti kejayaannya hari ini, Adi Din tidak lupa mendoakan kesejahteraan arwah anak perempuan tunggal kesayangannya, Nurul Erny Ashiqin Hasdiana yang pergi menghadap Ilahi selepas koma selama 18 bulan akibat kemalangan jalan raya pada 2008.


"Impian saya menyerahkan ECH kepadanya tidak tertunai kerana dia terlebih dahulu meninggalkan saya pada 23 Mac lalu dan buat seketika, saya terfikir mengapa dia beria-ia menghalang saya menjual ECH suatu ketika dahulu.

"Ketika menerima berita kematiannya, perasaan saya bercampur-baur kerana sehari sebelum itu saya dikeluarkan daripada status bankrap," katanya.

No comments:

Post a Comment